Imam Ali Ridha bin Musa Al Kadhim
Beliau
dikenali sebagai salah seorang pernuka dan ulama Ahlil Bait Nubuwah
yang besar pengaruhnya di kalangan Syiah. Beliau hidup semasa Khalifah
Harun Rasyid. Banyak orang yang menyaksikan karamah beliau. Beliau
pernah berkata kepada seorang yang sihat: “Bersiaplah untuk menghadapi
kematianmu”. Setelah tiga hari orang tersebut diberitakan meninggal
dunia. Al Hakim meriwayatkan dari Muhammad bin
Isa bin Abi HuFaib: “Aku pernah bermimpi melihat Rasulullah s.a.w. di
suatu gedung yang biasa kaum Haji singgah di tempat itu ketika tiba di
kota kami. Di gedung itu kulihat ada sebuah piring yang berisi buah
kurma. Kulihat Rasulullah memberiku delapan belas buah kurma. Setelah
dua puluh hari setibanya dari Madinah Ali Ridha singgah di tempat itu.
Penduduk kota kami datang menyambutnya. Akupun datang menemui beliau.
Kulihat beliau sedang duduk di tempat yang diduduki oleh Rasulullah
seperti yang kulihat dalam mimpiku. Sedangkan di hadapan beliau ada
sebuah piring yang berisi buah kurma sama seperti yang kulihat di dalam
mimpiku. Kemudian beliau memberiku segenggam buah kurma. Ketika kuhitung
jumlahnya sama berjumlah lapan belas buah. Aku berkata: “Tambahkan
sedikit lagi”. Jawab beliau: “Jika Rasulullah waktu itu menambahkan
pasti aku tambahkan padamu”. Dalam kitab Al
Itihaf Bi-Hubbil Asyraf disebutkan: “Waktu Khalifah Ma’mun, hendak
menjadikan Ali Ridha sebagai penggantinya kelak sebahagian bawahan
Khalifah Ma’mun tidak senang. Mereka takut kalau kekuasaan itu akan
berpindah dari keluarga Banil Abbas kepada keluarga Bani Fatimah.
Orang-orang yang tidak setuju itu ingin menunjukkan pembangkangannya
pada Ali Ridha. Biasanya jika Ali Ridha hendak masuk ke dalam istana
orang-orang yang berada dalam istana akan berdiri untuk memberi salam
pada beliau terlebih dahulu. Kemudian mereka membukakan tabir yang
memisahkan tempat bersemayamnya khalifah dengan ruangan luar. Pada
suatu hari pegawai-pegawai istana yang tidak senang pada beliau
bersepakat untuk tidak berdiri menghormat beliau dan tidak akan
membukakan tabir agar beliau tidak dapat masuk ke dalam majlis khalifah.
Di suatu pagi ketika pegawai-pegawai istana sedang duduk tiba-tiba
datanglah Ali Ridha hendak masuk ke dalam majlis khalifah seperti
biasanya. Anehnya waktu Ali Ridha masuk ke ruang itu tidak seorangpun
dari mereka yang tidak bangkit untuk menghormatinya dan membukakan
tabir. Setelah Ali Ridha masuk ke dalam majlis khalifah mereka saling
menyalahkan apa yang telah dilakukan masing-masing. Kemudian mereka
bersepakat sekali lagi untuk tidak membukakan tabir jika Ali Ridha
datang ke dalam istana. Keesokan harinya waktu Ali Ridha datang seperti
biasanya mereka hanya memberi salam saja pada beliau tanpa membukakan
tabir. Dengan izin Allah berhembusanlah angin kencang dalam istana
sehingga tabir itu tersingkap dan Ali Ridha pun masuk dalam istana
dengan aman. Demikian pula waktu Ali Ridha akan pulang berhembuslah
angin dari arah dalam menyingkapkan tabir sehingga Ali Ridha dapat
melalui dengan santai. Melihat kejadian itu salah seorang dari
mereka berkata: “Sungguh orang ini mempunyai kedudukan tinggi disisi
Allah dan ia selalu mendapatkan pertolongan dari Allah. Lihatlah
bagaimanakah datangnya angin sekencang itu yang dapat menyingkapkan
tabir ketika beliau datang dan pulang. Kerana itu bertaubatlah kamu pada
Allah atas perbuatan kamu”. Alhasan bin Musa
Al Khadhim bercerita: “Ketika kami sedang berada di majlis Ali Ridha ada
seorang yang bernama Ja’far bin Umar Ali Alawi melalui sedangkan
pakaiannya compang-camping dan mukanya kusut. Melihat keadaannya yang
sangat menyedihkan itu sebahagian kami ada yang melihatnya dengan
pandangan jijik. Ali Ridha berkata: “Dalam waktu dekat orang itu akan
kamu lihat dalam keadaan kaya, banyak pelayan yang mengiringkannya dan
keadaannya pun akan sedap untuk dipandang”. Belum sebulan dari ucapan
beliau, orang tersebut diangkat sebagai gabenor dan kedudukannya pun
berubah. la jadi seorang kaya raya, jika berjalan diiringkan oleh
seluruh pelayan dan pembesar-pembesar lainnya. Ketika ia berjalan kami
bangun untuk rnenghormatnya dan mempersilakannya singgah”. Musa
bin Marwan berkata: “Aku pernah melihat Ali Ridha berada di masjid
Madinah sedangkan khalifah Harun Rasyid berkhutbah. Beliau berkata:
“Ketahuilah bahawa aku dan ia (Harun Rasyid) kelak akan dikuburkan
berdampingan”.” Hamzah bin Ja’far Al Arjani
berkata: “Suatu hari kulihat Khalifah Harun Rasyid keluar dari salah
satu pintu Masjidil Haram, sedangkan Ali Ridha keluar dari pintu yang
lain. Beliau berkata sambil menunjukkan ucapannya itu kepada Khalifah
Harun ar-Rasyid: “Wahai orang yang berjauhan tempatnya dengan aku kelak
akan berdampingan dalam kubur, kelak kota Thousia (Iran) akan
mendekatkan aku dengannya. Apa yang diucapkan oleh beliau ternyata
benar-benar terjadi. Ketika Khalifah Harun sedang dalam suatu
perjalanannya untuk berhijad beliau meninggal dekat kota Thousia.
Jenazahnya dimakamkan dekat kuburan Ali Ridha di Thousiah”. Husin
bin Yasarah berkata: “Pernah Ali Ridha berkata padaku: “Kelak Abdullah
bin Harun Rasyid akan membunuh saudaranya Muhammad bin Harun Rasyid”.
Tanyaku pada beliau: “Apakah hal itu akan terjadi?” Jawab beliau: “Ya”.
Ternyata apa yang diucapkan beliau benar-benar berlaku.” Ali Ridha wafat di kota Thousiah (Khurasan) di akhir bulan Safar tahun 203 H. Dipetik dari: Kemuliaan Para Wali – karangan Zulkifli Mat Isa, terbitan Perniagaan Jahabersa. |
Komentar
Posting Komentar